Rafidah Mat Ruzki dan Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Penjujukan genom yang dijalankan terhadap sampel dalam kalangan pesakit daripada Kluster Tabligh mengesahkan andaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini bahawa ia berpunca dari Indonesia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada awal jangkitan membabitkan jemaah tabligh yang berhimpun di Masjid Sri Petaling pada akhir Februari hingga awal Mac itu, pihaknya mengesyaki ia datang dari negara jiran itu berikutan ada seramai 692 jemaah Indonesia turut menghadiri perhimpunan berkenaan.

"Kalau kita lihat pada perhimpunan Sri Petaling, ada 692 jemaah yang datang dari Indonesia. Ketika itu andaian kita ialah jangkitan itu mungkin datang dari Indonesia.

"Apabila kita membuat penjujukan genom, kita dapati sekarang ini jangkitan itu datang daripada 'strain' Indonesia," katanya pada sidang media harian Covid-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kajian juga dilaksanakan Depoh Tahanan Imigresen dan pada masa sama, diketahui ramai pendatang asing juga menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling.

Beliau berkata, apabila penjujukan genom dijalankan, ia didapati jangkitan sama dengan 'strain' dari Indonesia.

Justeru, katanya, permulaan gelombang kedua berasal dari Indonesia.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, walaupun penjujukan genom di negara ini hanya dilakukan terhadap sampel yang diambil dalam sesebuah kluster serta jenis tertentu, ia sememangnya membantu kesiapsiagaan KKM dalam menangani penularan wabak itu.

Beliau berkata, penjujukan yang dibuat terhadap kluster jemaah tabligh, PUI Sivagangga, Bukit Tiram dan Lahad Datu masih mampu memberi gambaran dari mana seseorang yang dijangkiti mendapat jangkitan Covid-19.

 DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Luqman Hakim Zubir
DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Luqman Hakim Zubir

"Malaysia menjalankan penjujukan genom tetapi bukan kepada semua kes yang disahkan positif. Apa yang penting kita melihat kepada kluster yang akan membantu perancangan strategik KKM, membuat kesiapsiagaan dan sebagainya.

"Apa yang pasti penjujukan genom tidak membantu kita membendung penularan Covid-19 tetapi apa yang kita dapat tahu daripada lokasi jangkitan dan kesiapsiagaan iaitu perancangan kita bagaimana kita kena kawal jika mutasi ini boleh menyebabkan kadar jangkitan yang tinggi," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, penjujukan genom juga mengambil masa lama untuk dikenalpasti iaitu antara dua hingga tiga minggu.

Pada masa sama, beliau berkata, banyak mutasi D614G sudah menggantikan jenis virus yang sebelum ini menjadi punca jangkitan sejak tahun lalu.

Katanya, setakat ini tiga negeri sudah dikenalpasti mempunyai mutasi D614G iaitu di Kedah, Sabah dan Johor.

"Berkemungkinan besar mereka yang pulang dari Sabah membawa virus itu ke Selangor tetapi kita sedang menjalankan pengasingan kultur virus untuk mengetahui jika ia benar-benar datang dari Sabah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 8:13 PM