X
PERALATAN yang dirampas polis. (Gambar kanan) Kugan yang diburu polis. FOTO ihsan polis
PERALATAN yang dirampas polis. (Gambar kanan) Kugan yang diburu polis. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Polis menahan dua lelaki selepas mereka memukul dan memeras ugut seorang lelaki warga asing di kawasan parkir kondominium di Kota Damansara, di sini, pada 6 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima laporan dibuat mangsa yang juga penuntut sebuah institusi pengajian tinggi swasta pada 7 Oktober lalu.

"Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, mangsa berusia lingkungan 20-an memaklumkan dia didatangi seorang lelaki warga asing dikenali serta dua lelaki tempatan tidak dikenalinya.

"Seorang daripada suspek menarik mangsa masuk ke dalam kereta lalu memukul mukanya menggunakan objek menyerupai sepucuk pistol dan meminta mangsa membayar wang tunai RM10,000 dalam tempoh sebulan jika tidak mahu diculik.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian atas kedua-dua kening, bawah mata kanan dan bahagian hidung," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, hasil maklumat diterima, pihaknya menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian itu di dua lokasi berasingan di Kota Damansara dan Puchong pada kelmarin dan semalam.

"Suspek pertama yang juga warga asing berusia 32 tahun ditahan di sebuah kondominium di Kota Damansara jam 10.05 malam dan merampas dua telefon bimbit, sebuah kenderaan serta pelbagai barang lain.

"Hasil soal siasat ke atas suspek pertama membawa kepada penahanan suspek kedua berusia 35 tahun jam 2.10 pagi di sebuah rumah di Puchong dengan merampas sebuah telefon, botol semburan pemedih mata, sebatang t-baton dan pelbagai barang lain," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek kedua mempunyai tiga rekod jenayah termasuk kes curi kenderaan, manakala suspek pertama tidak mempunyai rekod.

"Kedua-dua suspek itu direman selama empat hari sehingga 24 Oktober ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan atas kesalahan pemerasan.

"Kami sedang mengesan seorang lagi lelaki warga tempatan yang dipercayai terbabit dalam kejadian terbabit iaitu M Kugan yang dikenali sebagai Sivam, 43, yang beralamat di Nombor 49, Jalan TK 3/15, Seksyen 3 Taman Kinrara Batu 8, Puchong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 8:39 PM