GAMBAR hiasan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
GAMBAR hiasan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Rafidah Mat Ruzki dan Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak akan mendedahkan mana-mana lokasi yang dijalankan pengesanan jangkitan Covid-19 berikutan enggan wujud stigma terhadap kawasan terbabit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya memang diberi tekanan untuk mendedahkan identiti pesakit, keluarga mahupun lokasi jangkitan berlaku atau ujian pengesanan dilaksanakan.

"Kami tidak akan membuat pengumuman apabila ujian pengesanan dilakukan kerana bimbang wujud stigma. Kami tidak mahu mewujudkan stigma di kawasan itu.

"Jika ada kes positif di restoran atau sekolah, kami akan menutupnya dan menjalankan proses nyahkuman dan ia boleh beroperasi semula seminggu kemudian.

"Apa yang kita cuba elakkan ialah stigma dan orang awam tidak mahu ke sekolah, kediaman atau pusat beli-belah terbabit apabila berlaku kes kerana timbul ketakutan," katanya pada sidang media harian Covid-19, di sini, hari ini.

Beliau berkata, apabila berlaku kes, pihaknya akan berusaha sebaik boleh untuk membersihkan kawasan terbabit.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya jika ada kaitan antara kes yang berlaku di sebuah pangsapuri di Persiaran Surian dengan Kluster Utama.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 9:30 PM