KUCING yang didakwa dihempas kelihatan sihat dan tiada kecederaan, hari ini. FOTO Ihsan Masjid Taman Sri Muda.
KUCING yang didakwa dihempas kelihatan sihat dan tiada kecederaan, hari ini. FOTO Ihsan Masjid Taman Sri Muda.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Pengurusan Masjid Taman Sri Muda, Shah Alam menafikan berlaku insiden penganiayaan kucing di kawasan masjid itu seperti video dimuat naik di Facebook (FB) Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia), hari ini.

Sebaliknya, nazir masjid itu, Harani Md Saad berkata, apa yang berlaku hanya salah faham susulan cubaan seorang pengawal keselamatan masjid yang cuba menakut-nakutkan kucing berkenaan.

Menurutnya, beliau sendiri sudah bertemu dengan pengawal warga Bangladesh itu yang menafikan menyeksa kucing terbabit seperti didakwa.

"Video itu memang dirakam di kawasan masjid dan saya sudah memanggil lelaki terbabit iaitu pengawal keselamatan masjid warga Bangladesh untuk mendapatkan penjelasannya.

PENGAWAL keselamatan dan kucing yang didakwa dihempasnya ketika ditemui kariah masjid, hari ini. FOTO Ihsan Masjid Taman Sri Muda.
PENGAWAL keselamatan dan kucing yang didakwa dihempasnya ketika ditemui kariah masjid, hari ini. FOTO Ihsan Masjid Taman Sri Muda.

"Dia menafikan dan mengaku tidak berniat untuk menghempas kucing itu, sebaliknya hanya mahu menakut-nakutkannya ketika mahu diberi makan.

"Jika melihat rakaman video, nampak seolah-olah kucing itu dihempas, sebaliknya tidak. Kucing itu tidak diapa-apakan, ia sihat dan tidak alami kecederaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Bagaimanapun, Harani mengingatkan pengawal keselamatan itu supaya tidak mengulangi perbuatan berkenaan lagi untuk mengelak salah faham.

Katanya, pengawal itu menyayangi kucing jalanan berkenaan dan sering memberinya makan.

Terdahulu, Presiden Animal Malaysia, Arie Dwi Andika menerusi satu hantaran di FB memohon kerjasama orang ramai atau saksi untuk tampil memberi maklumat kepada pihak polis berhubung insiden terbabit.

Turut dimuat naik dalam hantaran itu adalah rakaman video berdurasi 24 saat menunjukkan seorang lelaki mengusap seekor kucing sebelum mengangkatnya, seolah-olah mahu menghempas ia ke lantai.

Rakaman itu juga jelas kedengaran jeritan wanita dipercayai cuba menghentikan tindakan lelaki itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 12:59 PM