AZIAH membasuh pinggan di premisnya selepas bekalan air pulih sepenuhnya di Kampung Bukit Kerayong, Jeram, pagi semalam. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
AZIAH membasuh pinggan di premisnya selepas bekalan air pulih sepenuhnya di Kampung Bukit Kerayong, Jeram, pagi semalam. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: "Kami terkesan dengan pencemaran air yang kerap kali berulang. Kalau boleh, janganlah sampai terputus bekalan air lagi," kata peniaga kedai makan, Aziah Parini, 44, yang juga penduduk Kampung Bukit Kerayong, Jeram di sini.

Menurutnya, dia bersyukur bekalan air di kampung itu pulih sepenuhnya kira-kira jam 6 pagi semalam.

Bagaimanapun, katanya, bekalan air terputus semula jam 9 malam tadi dipercayai akibat saliran paip pecah dan pulih semula kira-kira jam 5 pagi, hari ini.

Katanya, sewaktu ketiadaan air bermula 18 Oktober lalu, dia dan penduduk lain mengambil inisiatif mengumpul tong dan baldi serta menunggu lori tangki untuk mendapatkan bekalan air.

"Tuhan sahaja tahu betapa peritnya terputus bekalan air. Kebetulan saya berniaga, ketiadaan air mengeruhkan lagi keadaan.

"Kampung ini adalah lokasi terakhir bekalan air pulih sepenuhnya. Syukur Allah SWT mudahkan segala urusan kami," katanya ditemui Harian Metro.

Aziah yang berniaga sejak 15 tahun lalu berharap kerajaan negeri mengambil iktibar susulan kejadian yang berlaku selain memantau dan memastikan sumber air tidak mengalami gangguan pembuangan sisa industri atau berkaitan yang mencemarkan alam.

Seorang lagi penduduk yang juga bekas imam Masjid At-Tohiroh, Kampung Bukit Kerayong, Mohd Mansor Sarham, 72, mendakwa jemaah pernah mengambil air di parit berhampiran untuk dijadikan sebagai air wuduk semasa ketiadaan air di kampung itu kira-kira tiga tahun lalu.

"Ketika itu, kami terpaksa berikhtiar dengan menggunakan air daripada parit berhampiran untuk berwuduk.

"Namun, perkara itu tidak berlaku lagi apabila lori tangki masuk ke kampung ini sewaktu ketiadaan bekalan air," katanya.

Mohd Mansor berharap kerajaan negeri dan pihak berkaitan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku pencemaran.

"Perbuatan pihak tidak bertanggungjawab ini menyusahkan rutin hidup orang lain," katanya.

Sebelum ini, Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan insiden pencemaran air di Sungai Selangor yang menjadi sumber air mentah ke loji berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 3:33 PM