GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Hasrat lelaki ingin menanam pokok durian di kawasan hutan terbantut apabila dia ditahan ketika leka meratakan tanah secara haram di Hutan Simpan Kekal Langkawi, semalam.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Roslan Rani berkata, lelaki berusia 47 tahun itu dikesan melakukan kegiatan itu di Kompartmen 1 Hutan Simpan Gunung Raya, Langkawi, sejak seminggu lalu.

Katanya, hasil maklumat dan risikan, lelaki tempatan itu berjaya ditahan 6 petang semalam.

"Turut dirampas adalah mesin gergaji, motosikal, parang, cangkul dan penggali lubang yang digunakan bagi aktiviti berkenaan. Berdasarkan siasatan awal, lelaki itu dipercayai melakukan penerokaan bagi menanam pokok durian.

"Dianggarkan pelbagai jenis pokok di tanah seluas 0.2 hektar sudah ditebang dan bersihkan tanpa kebenaran. Nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Roslan berkata, lelaki terbabit kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Langkawi untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 81(1)(e) Akta Perhutanan Negara 1985 kerana membersih dan membajak tanah untuk tanaman.

Katanya, sabit kesalahan, lelaki itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

"Selain itu, lelaki yang penduduk pulau itu turut disiasat mengikut Seksyen 47(1) akta yang sama iaitu memasuki hutan tanpa kebenaran yang boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 9:56 AM