Norzamira Che Noh


Kuala Lumpur: Kerja pembersihan Sungai Kundang, Rawang, Selangor, yang tercemar akibat pembuangan bahan biodiesel masih giat dilakukan pihak kilang memproses minyak kelapa sawit.

Bahagian Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam kenyataan tadi, memaklumkan kerja pembersihan itu mengambil masa berikutan ia perlu dilakukan secara manual.

"Sehingga jam 2 petang tadi, pembersihan berada ditahap 70 peratus dan kita masih tidak pasti berapa lama masa yang akan diambil untuk pembersihan itu berikutan ia tidak boleh menggunakan teknologi ataupun mesin.

"Kerja-kerja pembersihan terpaksa dilakukan secara manual kerana membabitkan campuran air, sisa minyak dan sampah buangan seperti botol dan bekas makanan polistrin," katanya.

Menurut kenyataan itu, MPS akan meneruskan pemantauan sehingga kerja pembersihan siap.

LUAS mengesan pencemaran bau sehingga 10 ton di Sungai Kundang ketika pemantauan secara 24 jam dalam Ops Statik Sungai Gong, Rawang. FOTO IHSAN LUAS
LUAS mengesan pencemaran bau sehingga 10 ton di Sungai Kundang ketika pemantauan secara 24 jam dalam Ops Statik Sungai Gong, Rawang. FOTO IHSAN LUAS

Jelasnya, pihak Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah mengambil sampel dan menunggu keputusan makmal untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, kerajaan Selangor mengesahkan kilang yang dipercayai menjadi punca pencemaran bau sehingga 10 ton di Sungai Kundang, semalam, adalah industri berlesen di bawah pentadbiran MPS.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, siasatan mendapati kilang itu terletak di kawasan perindustrian Kundang, Rawang.

Loy Sian dilaporkan berkata, kilang berkenaan berlesen dengan MPS sudah beroperasi selama 19 tahun, sejak 2001 yang mana ia adalah kilang membuat dan memproses produk minyak kelapa sawit.

Difahamkan kilang itu menjadi punca pencemaran bau sehingga 10 ton di Sungai Kundang pagi kelmarin sebelum disedari orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 5:06 PM