Giovanna Khadija bersama suami ketika sambutan hari lahirnya, semalam.
Giovanna Khadija bersama suami ketika sambutan hari lahirnya, semalam.
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Giovanna Khadija Wolswijk, wanita Itali yang tular berikutan memeluk Islam selepas tersentuh hati mendengar alunan al-Quran, meraikan hari lahir ke-25, semalam dengan hadiah paling berharga.

Wanita itu yang juga penuntut sarjana di Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hamil enam bulan dan bakal menyambut kelahiran anak sulung, Januari depan.

Dia melangsungkan perkahwinan dengan Mohamad Khalies Hami Hamzah, 35, yang juga pembantu tadbir di UMT pada 14 Februari lalu.

"Inilah sambutan hari lahir paling bermakna dalam hidup saya. Kandungan saya sudah berusia enam bulan dan Alhamdulillah saya dan suami sangat teruja menyambut kelahiran anak," katanya.

Giovanna ditemui ketika majlis sambutan hari lahirnya yang diadakan di sebuah hotel di sini.

Bercerita lanjut, katanya, dia tidak mengalami sebarang masalah atau alahan serius ketika awal kandungan, namun mengakui selera makannya bertambah.

Katanya, dia dan Mohamad Khalies juga tidak kisah mengenai jantina anak sebaliknya, berharap bayi bakal lahir sihat dan sempurna.

"Ibu dan bapa saya di Itali juga teruja apabila mengetahui saya mengandung dan tidak sabar untuk menimang cucu pertama," katanya yang memberitahu mereka sering berhubung menerusi panggilan video.

Dalam pada itu, Mohamad Khalies berkata, sangat bersyukur dengan rezeki cahaya mata itu dan berharap isteri serta anaknya sihat serta dilindungi Allah.

"Saya memang berharap dapat anak secepat mungkin kerana umur saya sudah 35 tahun tetapi tidaklah berharap sangat kerana tidak mahu kami tertekan.

"Bagaimanapun Allah sebaik-baik perancang, Alhamdulillah kami kini menanti cahaya mata sulung," katanya.

Berita berkaitan

Bermulanya cinta daripada ucapan tahniah

Hidayah di bumi Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 2:31 PM