X
Kedua-dua tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini. FOTO Farid Noh.
Kedua-dua tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini. FOTO Farid Noh.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Usahawan dan broker didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menipu wang berjumlah RM2.5 juta berkenaan projek pembersihan yang tidak wujud, tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mad Nazri Kasbi, 46, dan Mohd Yazzid Ahmad, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Farid Nazzrin Ahmad.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa memperdaya seorang pemilik syarikat bahawa tertuduh boleh mendapatkan projek kerja pembersihan hutan di kawasan Sekakap, Mersing.

Projek itu kononnya mendapat kelulusan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim sehingga mendorong mangsa menyerahkan cek bernilai RM2.5 juta.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Pusat Perdagangan Danga Utama, Skudai, di sini pada 2 petang, 11 April 2019.

Bagi perbuatan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew, manakala Mad Nazri diwakili peguam N Rhubinii dan Mohd Yazzid pula diwakili peguam Shaik Salem SM Daud.

Terdahulu, Chan menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 setiap tertuduh dengan dua penjamin kepada kedua-dua tertuduh.

Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh dibenar ikat jamin RM13,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap minggu.

Sebutan semula kes ditetapkan 6 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 3:06 PM