Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Beberapa nombor pendaftaran lori yang diberi saksi selepas didakwa terbabit dalam kejadian langgar lari mengorbankan seorang pegawai bomba di Jalan Puchong-Dengkil, Puchong, Selangor petang semalam, didapati tidak tepat.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Superintendan Azman Shari'at berkata, nombor pendaftaran berkenaan diberikan seorang saksi kepada pegawai penyiasat di tempat kejadian.

"Kami sudah periksa beberapa kenderaan yang nombor pendaftarannya hampir sama dengan yang diberi saksi berkenaan tapi belum berjaya.

"Polis masih berusaha mengesan suspek kejadian itu," katanya kepada Bernama.

Selain itu, beliau juga berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak membantu mengesan suspek terbabit kerana ia hanya terdapat di sebuah plaza tol berdekatan, namun belum dapat dipastikan lori berkenaan melalui plaza tol itu atau tidak.

"Setakat ini, juga tiada pemandu lori yang tampil di mana-mana balai polis bagi membuat laporan mengenai kejadian berkenaan.

"Bedah siasat mangsa di Hospital Serdang sudah selesai dan kematiannya disahkan disebabkan kecederaan akibat kemalangan," katanya.

Semalam, Bernama melaporkan dalam kejadian pada 1.45 tengah hari itu, Anuar Harun, 42, yang juga Penguasa Kanan Bomba, Ketua Zon Daerah Petaling maut di tempat kejadian selepas skuter ditunggangnya bergesel dengan lori terbabit yang melarikan diri ke arah Sunway selepas kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 5:24 PM