Mohamed Jusoh (kiri) menerima sumbangan barangan dapur daripada YADIM yang disampaikan Mohd Afifi dua dari kiri) hari ini. Foto Zuhainy Zulkiffli
Mohamed Jusoh (kiri) menerima sumbangan barangan dapur daripada YADIM yang disampaikan Mohd Afifi dua dari kiri) hari ini. Foto Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Penjara Reman Pulau Pinang sentiasa mengambil berat kebajikan dan perkembangan kakitangannya yang terbabit dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi Kluster Penjara Reman.

Pengarah Penjara Reman Mohamed Jusoh Ismail berkata, pihaknya juga sentiasa mengadakan dialog terbuka bersama kakitangan terbabit dengan PKPD, dijangka berakhir 27 Oktober ini.

Menurutnya, antara kakitangan dikenal pasti terjejas ialah yang tinggal di luar kawasan kuarters penjara dan tidak boleh pulang ke rumah bertemu keluarga.

"Ada dalam kalangan ahli keluarga mereka yang menghadapi masalah seperti tidak pandai memandu kenderaan atau tidak bekerja, semua itu kita ambil kira.

"Ia boleh menyebabkan kakitangan yang terbabit PKPD berasa tertekan, justeru saya selalu ingatkan kepada mereka (kakitangan) supaya berkongsi masalah dengan kami bagi mengatasinya," katanya kepada media, hari ini.

Mengulas lanjut Mohamed Jusoh berkata, dia belum dimaklumkan mengenai PKPD bagi Kluster Penjara Reman sama ada akan berakhir atau disambung semula.

"Bekalan yang disumbangkan mencukupi setakat ini, melihat kepada perkembangan kes masih tidak pasti sama ada ia akan ditamatkan atau disambung.

"Jika ia disambung, harap ada kelonggaran kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Bersasar bagi memudahkan pergerakan kakitangan terutama yang tinggal di luar kawasan kuarters penjara," katanya lagi.

Beliau ditemui ketika menerima sumbangan sebanyak 130 bungkusan barangan dapur kepada kakitangan penjara yang disumbangkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Pulau Pinang disampaikan penyelarasnya, Mohd Afifi Ruslan.

PKPD Kluster Penjara Reman yang bermula sejak 15 Oktober lalu membabitkan penutupan jalan dan sekatan jalan raya di tiga laluan dengan radius sejauh 1.68 kilometer.

Laluan berkenaan ialah Jalan Penjara, manakala di Jalan Berek dan Jalan Lim Khoon Huat pula, penutupan hanya membabitkan sebahagian jalan berkenaan.

Ia membabitkan seramai 2,298 banduan selain tujuh blok kuarters kakitangan dan lapan unit rumah pegawai dengan jumlah sebanyak 610 orang.

Sementara itu, Mohd Afifi berkata, sumbangan menerusi Program Yadim Peduli itu membabitkan enam penjara di utara.

"Penjara berkenaan masing-masing membabitkan tiga di Kedah, dua di Pulau Pinang dan satu di Taiping yang membabitkan peruntukan sebanyak lebih RM100,000," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 6:34 PM