SUPERINTENDAN Razlam Ab Hamid (tengah) bersama pegawainya menunjukkan antara barangan dipercayai milik mangsa yang ditemui berhampiran mayatnya ditemui. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
SUPERINTENDAN Razlam Ab Hamid (tengah) bersama pegawainya menunjukkan antara barangan dipercayai milik mangsa yang ditemui berhampiran mayatnya ditemui. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: Ahli keluarga atau waris kepada seorang wanita yang ditemui mati di belakang sebuah kuil di Taman Zenith, di sini, diminta tampil untuk membuat pengecaman di Hospital Tuanku Bainun, Ipoh.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira 7 malam Rabu lalu dipercayai berbangsa India dan sudah meninggal dunia dalam tempoh dua minggu.

Menurutnya, pihak polis turut menemukan beberapa barangan dipercayai milik si mati seperti seluar panjang hitam, jam tangan jenama Casio, beg duit, baju dalam dan baju wanita berwarna hitam di kawasan berhampiran.

"Mayat itu ditemukan orang awam pada ketinggian 800 meter dari kaki bukit di taman perumahan itu dalam keadaan terlentang.

"Hasil bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah dan mangsa berketinggian 160 sentimeter, berusia 35 hingga 55 tahun, kurus dan mempunyai kesan pembedahan dengan terdapat besi di kaki kanan," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Rahimi Abd Rahman di talian 010- 4643029 atau 05-8080222.

Katanya, buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 1:17 PM