EMPAT tertuduh ketika didakwa di Mahkamah Majistret Slim River, 20 Oktober lalu atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam berhampiran Plaza Tol Slim River. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN.
EMPAT tertuduh ketika didakwa di Mahkamah Majistret Slim River, 20 Oktober lalu atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam berhampiran Plaza Tol Slim River. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN.
BERNAMA

Slim River: Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Slim River, hari ini atas pertuduhan menghalang penjawat awam iaitu polis menjalankan tugas berhampiran Plaza Tol Slim River, pada 16 Oktober lalu.

Tertuduh, P Panneerselvan, 32; S Vijandran, 41; A Sivakumar, 28, dan R Durai Raaj, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Nurul Hidayah Ismail.

Pada prosiding 20 Oktober lalu, tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh kerana mereka tidak memahami bahasa Melayu dan mahkamah menetapkan hari ini untuk memanggil jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa sengaja menghalang seorang anggota polis iaitu Koperal Muhd Syahrul Azuwan Ab Manaf daripada menjalankan tugasnya, dengan tidak memberi kerjasama setelah diberi amaran berulang kali untuk beredar dari lokasi kejadian serta gagal mengemukakan kad pengenalan apabila diminta berbuat demikian.

Panneerselvan, Sivakumar serta Durai Raaj yang merupakan pekerja trak tunda dan Vijandran yang tidak bekerja didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Slim River, Slim River-Tanjung Malim pada 3.30 pagi 16 Oktober lalu.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Durai Raaj turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan menolak badan dan membuka zip vest polis Muhd Syahrul, di tempat dan masa sama.

Bagi pertuduhan itu, Durai Raaj didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Zubir manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 9 November ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 1:46 PM