SK Seri Sentosa akan kembali ke sekolah esok selepas ditutup seminggu sejak 20 Oktober lalu. FOTO Danial Saad
SK Seri Sentosa akan kembali ke sekolah esok selepas ditutup seminggu sejak 20 Oktober lalu. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Semua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa, di sini, akan kembali menjalani sesi persekolahan, esok selepas sekolah itu ditutup selama seminggu bermula 20 Oktober lalu susulan penularan Covid-19.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Abdul Rashid Abdul Samad berkata, pembukaan semula sekolah berkenaan membabitkan semua murid.

"Mereka akan menjalani sesi persekolahan seperti biasa, esok," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, hanya seorang sahaja murid di sekolah itu disahkan positif wabak berkenaan setakat ini.

Dianggarkan, terdapat 498 murid dan 57 guru di sekolah berkenaan.

Khamis lalu, JPNPP mengarahkan SK Seri Sentosa ditutup seminggu ekoran pengesanan satu kes positif Covid-19.

Sebelum ini, SK Permatang Janggus di Penaga, Kepala Batas ditutup selama lapan hari selepas seorang guru disahkan positif wabak itu sekali gus menjadikan dua sekolah ditutup di Pulau Pinang berikutan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 3:34 PM