Faris Fuad


Kuala Lumpur: Polis masih menjalankan siasatan dalaman merangkumi pelbagai aspek termasuk kecuaian berhubung insiden kereta peronda (MPV) pasukan keselamatan itu dilarikan dalam kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU), Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, setakat ini, tiada anggota dan pegawai polis yang digantung tugas susulan insiden berkenaan.

"Kita masih menjalankan siasatan mengenai kes MPV polis dilarikan itu.

"Mengikut siasatan terkini, tiada anggota yang digantung kerja," katanya pada BH, hari ini.

Kelmarin, dua beradik lelaki dilaporkan membawa sebuah komputer riba kononnya mereka anggota polis dari bahagian Sumber Teknologi Maklumat sebelum melarikan sebuah MPV polis dalam kawasan IPD berkenaan.

Dalam kejadian jam 9.15 malam itu, dua lelaki berusia 28 dan 32 tahun datang ke bahagian MPV terbabit untuk membuat pemeriksaan ke atas kamera (dashcam) dalam kenderaan terbabit.

Sumber dipetik berkata ketika kejadian, terdapat seorang anggota polis berpangkat sarjan bertugas sebagai penyelia MPV dan dia tidak mengesyaki perkara tidak betul terhadap kedua-dua beradik berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 4:20 PM