X
Suraya Roslan dan Nurul Hidayah Bahauddin

Kuala Lumpur: "Peperangan ini tidak boleh dimenangi oleh KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan kerajaan semata-mata, semua orang kena ambil bahagian dan berhenti menyalahkan satu sama lain," demikian nasihat Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ia adalah susulan kes baharu Covid-19 dalam negara yang melonjak kepada empat angka dengan mencatatkan jumlah tertinggi harian yang pernah direkodkan.

Menurutnya, pihaknya melihat orang ramai mula tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, jika orang ramai mematuhi SOP yang dikeluarkan diyakini dalam tempoh dua minggu rantaian Covid-19 boleh diputuskan.

"Sama ada kita mahu menang atau kalah dalam peperangan ini, yang penting kita semua kena bersatu padu dan berhenti menyalahkan satu sama lain.

"Senario yang berlaku di Sabah sedikit berbeza berbanding di Selangor dan Lembah Klang disebabkan mobiliti dan juga populasi, ini cabaran yang kami (KKM) tempuh," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu membolehkan rantaian itu diputuskan sedikit demi sedikit.

"Tetapi berikutan PKP terlampau mahal (untuk dilaksanakan), kita kena seimbangkan antara kehidupan dan keperluan mencari rezeki disebabkan itu kita membenarkan sektor ekonomi berfungsi.

"Tolong jangan ambil kesempatan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), duduk di rumah jika tiada perkara penting, bantu kami untuk putuskan rantaian virus ini.

"Kita benarkan sektor ekonomi dibuka tetapi tidak sosial, pendidikan dan sukan supaya kita boleh putuskan rantaian.

"Jika anda melihat ada perjumpaan dan pelanggaran mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988), tolong maklum kepada polis," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai perjumpaan pemimpin Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mendapat kebenaran dalam tempoh PKPB, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sudah menasihatkan semua pihak untuk mematuhi SOP ditetapkan iaitu elak kawasan sesak, sempit, bersembang dalam jarak dekat.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya hari ini. Foto Mohd Fadli Hamzah
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya hari ini. Foto Mohd Fadli Hamzah

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 7:52 PM