Ahmad Ismail

Segamat: Sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dipanggil membantu mengangkat seorang wanita yang mengalami masalah obesiti dengan berat badan 200 kilogram (kg) untuk dihantar ke Hospital Segamat, hari ini.

Difahamkan, Norazlina Ramli, 35, menghadapi pertambahan berat badan luar biasa disebabkan masalah hormon, selain menghidap pelbagai penyakit antaranya darah tinggi.

Pegawai APM Segamat Kapten (PA) Nor Hisyam Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10 pagi memaklumkan Norazlina mengalami pendarahan selain mengalami kesukaran bernafas di kediamannya di Taman Bunga Raya, Segamat di sini.

Katanya, jiran dan waris wanita itu cuba mengangkatnya untuk dibawa ke hospital menggunakan kenderaan awam, namun tidak berjaya sebelum menghubungi APM.

"Lapan anggota APM dibantu empat kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengangkat wanita itu dari katil sehingga masuk ke dalam ambulans.

"Kami mengambil masa 10 minit untuk mengangkat dan mengusungnya keluar dari rumah sebelum dihantar ke Hospital Segamat," katanya ketika ditemui, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kesihatan Daerah Segamat, Dr. Zaid Kassim.

NORAZLINA dibantu anggota APM dan kakitangan KKM menaiki ambulans ke Hospital Segamat. FOTO Ahmad Ismail
NORAZLINA dibantu anggota APM dan kakitangan KKM menaiki ambulans ke Hospital Segamat. FOTO Ahmad Ismail

Ibu saudara wanita itu, Roslina Mahfoh, 44 berkata, sejak malam tadi Norazlina mengalami pendarahan dan semakin serius apabila wajahnya kelihatan amat pucat, pagi tadi.

"Masalah berat badan itu semakin ketara sejak dia berusia belasan tahun, walaupun mengamalkan pemakanan sihat disebabkan masalah hormon.

"Sejak kebelakangan ini tahap kesihatannya semakin merosot kesan pertambahan berat badannya itu serta terpaksa dibantu untuk bergerak untuk melakukan aktiviti harian," katanya.

Sementara itu, Norazlina berkata, walaupun dia hanya makan menu biasa seperti nasi bersama sayur dan ikan sekali sehari, selain roti atau biskut dalam jumlah yang sedikit, berat badan tetap bertambah.

Katanya, sebelum ini doktor pernah menasihatkannya menjalani pembedahan tetapi keluarganya tidak berkemampuan.

Berita berkaitan

Berkorban jaga sepupu obes, berat cecah 200kg

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 3:28 PM