Kuala Lumpur: "Kami mengambil keputusan untuk terjun ke laut dan kemudian terpaksa mengapungkan diri serta mengharung angin dan ombak kuat selama hampir tiga jam sebelum diselamatkan.
"Ia umpama mimpi ngeri," itu kata salah seorang mangsa kru kapal platform MV Dayang Topaz yang terselamat kepada Borneo Post, hari ini.
Mangsa yang tidak didedahkan identiti berkata, dia bersama kru lain mengambil keputusan untuk terjun apabila kapal itu mulai karam selepas melanggar sebuah pelantar minyak di situ.
Menurutnya, sebelum kejadian, kawasan di situ dilanda hujan lebat sejak jam 10 malam kelmarin selain angin kencang dan laut bergelora.
"Cuaca buruk berlarutan sehingga awal pagi dan sekitar jam 6 pagi, salah satu sauh pada kapal terputus.
"Keadaan itu menyebabkan kapal hilang kawalan dan terlanggar platform minyak Baram B yang terletak berhampiran," katanya.
Menurutnya, pelanggaran itu menyebabkan kapal berkenaan rosak dan mulai karam.
"Kru kemudian diarahkan untuk segera meninggalkan kapal yang menyebabkan kami mengambil keputusan untuk terjun ke laut.
"Kesemua kru sebelum itu sudah diarahkan membuat persiapan bagi menghadapi segala kemungkinan susulan cuaca buruk namun kami tidak menjangkakan keadaan akan menjadi seburuk itu," katanya,
Terdahulu, Harian Metro melaporkan Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat (MRCC) Putrajaya menerima maklumat kejadian itu daripada pengendali kapal Sapura Construction pada jam 6.45 pagi selepas mendapat isyarat kecemasan dari Dayang Topaz.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Datuk Mohd Zubil Mat Som dilaporkan berkata, pihaknya dimaklumkan kapal Sapura Construction bergerak ke lokasi untuk mengesan lokasi sebenar Dayang Topaz sebelum mendapati kapal berkenaan mulai karam dengan 62 kru masih berada di atas kapal manakala 125 kru lagi terjun ke laut untuk menyelamatkan diri.
Berita berkaitan: