GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Kluster Kempas mencatatkan peningkatan jangkitan kepada 30 kes positif Covid-19 sejak mula dikesan di negeri ini, Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata, ia peningkatan lapan kes berbanding 22 kes positif yang direkodkan pada Isnin lalu.

Katanya, seramai 240 daripada kontak rapat kluster berkenaan disahkan negatif manakala 173 masih lagi menunggu keputusan saringan

"Sehingga semalam, jumlah kes bagi Kluster Kempas meningkat kepada 30 kes yang membabitkan tujuh rakan sekerja, 15 orang ahli keluarga, lima kontak rapat ahli keluarga berkenaan serta tiga pelajar.

"Punca jangkitan kluster ini masih lagi di dalam siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor menjangkakan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini terus berlaku dalam terdekat dengan kemasukan kes import dan aktiviti pengesanan yang sedang dipergiatkan.

Namun beliau meminta orang ramai untuk bertenang dan tidak menimbulkan panik dengan menyebarkan maklumat yang kurang tepat memandangkan penularan virus di negeri ini masih terkawal.

"Jika terdapat kes positif dilaporkan membabitkan warga sekolah, tindakan akan diambil segera oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor dengan ujian saringan Covid-19 akan dijalankan pada individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat serta arahan kuarantin di rumah selama 14 hari.

"Namun sekolah di negeri ini diingatkan untuk memastikan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya mengekalkan status risiko penularan wabak yang rendah di persekitaran sekolah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 1:07 PM