EKSTRAK yis bernilai RM204,921.03 yang diletakkan di dalam kontena disita di Pelabuhan Kuantan, Kuantan. FOTO ihsan MAQIS
EKSTRAK yis bernilai RM204,921.03 yang diletakkan di dalam kontena disita di Pelabuhan Kuantan, Kuantan. FOTO ihsan MAQIS
Asrol Awang


Kuantan: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menyita ekstrak yis dari China bernilai RM204,921.03 yang masuk di Pelabuhan Kuantan di sini, semalam.

Pengarah Maqis Pahang dan Terengganu, Mohamad Nazrul Hizam Abdul Manaf berkata, sitaan itu hasil pemeriksaan rutin oleh pegawai penguat kuasanya pada 10.15 pagi.

Katanya, siasatan mendapati cecair ekstrak seberat 19,800 kilogram (kg) itu tidak mempunyai permit import sah yang dikeluarkan jabatan.

"Permit import penting untuk memastikan syarat-syarat dipatuhi semasa pengimportan komoditi keluaran pertanian ke negara kita.

"Barang dagangan itu disita untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Nazrul Hizam berkata, kontena yang membawa dagangan itu turut disita dan kes disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama.

Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

"Maqis sentiasa menjalankan pemeriksaan bagi memastikan sebarang kemasukan keluaran pertanian mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi menjamin biosekuriti negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 2:13 PM