SYARUZ Rafuza (kiri) memerhatikan pembantu melakukan kerja pemasangan stiker. FOTO Mohd Amin Jalil
SYARUZ Rafuza (kiri) memerhatikan pembantu melakukan kerja pemasangan stiker. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil

Seremban: Minat mendalam dalam aktiviti solekan kereta berikutan sering terbabit dalam pertandingan kereta tercantik atau autoshow mencetus idea dua rakan, berkongsi membuka perniagaan balutan stiker kereta/motosikal.

Syaruz Rafuza Shamsudin, 38, dari Ampangan dan Fadly Mohd Faisal Mustaffa, 36, dari Taman Bukit Chedang, di sini, berkongsi membuka perniagaan itu di Seremban 2, di sini, sejak awal tahun 2017.

Mereka yang masing-masing sudah berkeluarga adalah antara usahawan muda Melayu pertama menceburi bidang perniagaan balutan stiker kenderaan di Seremban.

Syaruz Rafuza berkata, selama lebih lima tahun sejak awal tahun 2000 mereka terbabit dalam aktiviti autoshow dan sering melakukan solekan serta ubahsuai kereta bagi tujuan menampilkan gaya yang menawan untuk kepuasan selain memenangi pertandingan kereta tercantik.

Katanya, walaupun aktiviti itu disertai sekadar mengisi masa lapang, namun puluhan ribu ringgit dihabiskan kerana kos ubahsuai dan solekan kereta.

"Selepas memikirkan jangka panjang dan masa depan, saya sepakat bersama Fadly berkongsi membuka kedai wrap stiker pada awal 2017, walaupun ketika itu cabarannya bukan mudah terutama bersaing dengan peniaga bukan Melayu.

"Kami mengeluarkan modal awal keseluruhan RM20,000 untuk membeli kelengkapan peralatan, mesin dan sebagainya termasuk kos menyewa premis," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Syaruz Rafuza berkata, dia mempunyai pengalaman dalam bidang itu kerana pernah membabitkan diri dalam perniagaan itu secara sambilan di Ampangan Seremban sebaik menamatkan pengajian di Politeknik Johor Bahru.

Manakala, Fadly pula mempunyai kemahiran dalam bidang reka bentuk selepas menamatkan pengajian di Kolej Universiti Teknologi Antarabangsa Twintech, Damansara Kuala Lumpur.

"Kami bergabung tenaga dan kemahiran masing-masing untuk membuka perniagaan ini kerana mendapat ia berpotensi berkembang walaupun terpaksa bersaing dengan kedai cat kereta di luar sana.

"Pemilik kereta mempunyai pilihan untuk menukar warna badan kenderaan mengikut cita rasa masing-masing berbanding warna yang sedia ada ketika membeli," katanya.

Katanya, kebebasan memilih warga dan keunikan stiker selain ketahanannya sehingga lima ke enam tahun menyebabkan ramai pemilik kenderaan persendirian menukar warna menggunakan stiker.

Beliau berkata, harga yang kompetitif dikenakan bagi setiap pelanggan antara RM1,800 hingga RM10,000, bergantung kepada saiz kereta atau motosikal dan kualiti stiker, membuatkan ramai pemilik kenderaan terbabit memilih perkhidmatan yang disediakan itu.

"Pelanggan tidak hanya datang dari kawasan Negeri Sembilan, sebaliknya terdapat dari Pulau Pinang, Shah Alam, ibu negara, Melaka dan Johor," katanya yang dibantu dua staf berkemahiran bagi melancarkan lagi kerja-kerja pemasangan stiker.

"Alhamdulillah, setakat ini, sambutan menggalakkan dan kadangkala tidak cukup tangan, namun kami pentingkan kualiti dengan setiap pemasangan stiker perlu mematuhi spesifikasi ditetapkan.

"Kami bercadamg membimbing lebih ramai golongan belia menceburi perniagaan ini kerana ia berpotensi maju sesuai dengan era teknologi masa kini dan akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 4:37 PM