SARAVANAN (gambar fail). FOTO Bernama
SARAVANAN (gambar fail). FOTO Bernama
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Kementerian Sumber Manusia menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu pekerja Malaysia di Singapura yang diberhentikan kerja susulan penularan Covid-19.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, ketika ini dianggarkan seramai 400,000 rakyat Malaysia bekerja di negara jiran itu, dengan 300,000 daripada mereka menetap di sana.

Beliau berkata, baki 100,000 pekerja Malaysia berulang-alik antara Johor Bahru ke Singapura.

Katanya, penularan wabak Covid-19 dan peningkatan kes di Singapura sebelum ini menyebabkan ramai pekerja Malaysia di negara itu mulai terjejas apabila sebilangan majikan memberi notis penutupan sementara syarikat, antara dua minggu dan sebulan sejak Februari lalu.

"Penularan wabak Covid-19 menyebabkan berlakunya peningkatan statistik pemberhentian kerja rakyat Malaysia di Singapura.

"Kerajaan memandang serius perkara ini dan Kementerian Sumber Manusia menubuhkan satu Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas bagi membangunkan pangkalan data yang komprehensif mengenai pekerja Malaysia di Singapura.

"Objektif penubuhan jawatankuasa ini adalah untuk mengenal pasti strategi dan pelan tindakan dalam usaha membantu mereka yang terkesan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Saravanan berkata, jawatankuasa itu turut dianggotai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC); Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU); Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM); Jabatan Imigresen Malaysia (JIM); Kerajaan Johor; Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA); serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia dan mesyuarat pertamanya dijangka pada 30 Oktober ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 4:37 PM