PENDUDUK di Pusat Hentian Kajang membuat persiapan terakhir membeli barang keperluan selepas kawasan dikenakan PKPD, semalam. FOTO Fathil Asri.
PENDUDUK di Pusat Hentian Kajang membuat persiapan terakhir membeli barang keperluan selepas kawasan dikenakan PKPD, semalam. FOTO Fathil Asri.
BERNAMA

Tanah Merah: Bekalan makanan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah mencukupi dan rakyat yang berada dalam kawasan itu tidak perlu panik dengan maklumat palsu berhubung perkara berkenaan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan ll Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kerajaan khususnya kementeriannya tidak mempunyai masalah untuk penyediaan bekalan makanan dan disalurkan kepada rakyat yang terbabit.

"Bekalan di Sabah atau di seluruh negara tidak mempunyai masalah. Kementerian akan pastikan bekalan makanan mencukupi untuk diterima oleh rakyat.

"Jadi kami (kerajaan) mengharapkan supaya rakyat tidak membuat pembelian panik hanya kerana mendengar berita-berita palsu yang menyatakan makanan tidak mencukupi dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas Lawatan Kerja ke Projek Kelompok Jagung Kampung Paloh di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian amat menggalakkan golongan akademik dalam bidang pertanian untuk terbabit sama bagi membantu meningkatkan pengeluaran sektor pertanian berkualiti negara.

"Kita memandang serius atau sangat menghargai kepakaran ahli akademik dalam sektor pertanian kerana kita yakin pembabitan cerdik pandai ini turun ke padang, memberikan bantuan ilmu teknikal dan sebagainya, dapat mempertingkatkan keluaran hasil pertanian negara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 7:17 PM