AZHAR (gambar kecil) meninggal dunia ketika menjala ikan dipercayai akibat serangan jantung. FOTO ihsan pembaca.
AZHAR (gambar kecil) meninggal dunia ketika menjala ikan dipercayai akibat serangan jantung. FOTO ihsan pembaca.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Pesara tentera ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran pintu air ketika menjala ikan di Kampung Parit Haji Ismail 2, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, dalam kejadian 4.27 petang itu, mangsa, Azhar Ahmad 54, berasal dari Parit Gabis, ditemukan dalam keadaan terlentang oleh penduduk kampung.

Beliau berkata, petugas Klinik Kesihatan (KK) Gunung Semanggol yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia.

"Pemeriksaan terhadap tubuh mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan atau simpton Covid-19.

"Berdasarkan maklumat waris, mangsa dikatakan menghidap penyakit jantung serta darah tinggi dan beberapa kali dinasihatkan ahli keluarga supaya tidak pergi menjala ikan berikutan pernah diserang strok dan sakit jantung.

"Difahamkan mangsa baru mendapatkan rawatan penyakitnya itu di Hospital Taiping pada 5 Oktober lalu," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kegagalan jantung berfungsi.

Menurutnya, sehubungan itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, isteri mangsa, Noor Hasidah Mahmud, 46, berkata suaminya memang kerap menjala ikan di kawasan sekitar kampung sejak pencen dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Pada 2015, suami menghidap sakit jantung dan pada 2019, dia diserang penyakit angin ahmar dan dirawat selama seminggu di Hospital Taiping.

"Kali terakhir arwah suami menjalani pemeriksaan pada 5 Oktober lalu dan temujanji rawatan seterusnya pada 29 Mac tahun hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2020 @ 8:49 PM