HAJIJI Noor. FOTO arkib NSTP
HAJIJI Noor. FOTO arkib NSTP
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor menyeru kepada rakyat khususnya yang beragama Islam di Sabah agar menghayati dan mencontohi ajaran Nabi Muhammad SAW dalam menghadapi dugaan Covid-19.

Dalam perutusan khas sempena sambutan Maulidur Rasul, hari ini, beliau berkata, rakyat harus mengambil iktibar walaupun tiada sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri.

"Walaupun Maulidur Rasul pada kali ini tidak dapat kita sambut seperti mana tahun sebelumnya, namun semangat dan matlamat daripada sambutan ini masih boleh kita terjemahkan dalam kehidupan kita terutamanya dalam norma baharu ini.

"Biarpun kali ini tiada perarakan dan perhimpunan sempena hari besar ini kerana kita berhadapan dengan ujian Covid-19, namun objektif daripada perayaan ini boleh kita capai dengan cara yg lain.

"Seperkara yang diingatkan oleh Rasulullah dalam kita menghadapi apa sahaja bentuk ujian dan masalah, ialah sifat sabar, bermuafakat, berkerjasama dan berusaha serta bertawakal kehadrat Allah.

"Dalam menghadapi pendemik yang melanda seluruh dunia ini, kita tidak boleh panik apatah lagi saling mencari salah orang lain," katanya.

Hajiji turut menggesa rakyat Islam menerapkan semangat kerjasama dan tolong-menolong.

"Belajarlah dengan apa yang diajarkan oleh Nabi kita tentang semangat kerjasama dan tolong-menolong tanpa mengira apa bangsa dan agama kita dengan mematuhi segala peraturan dan arahan pihak berwajib di samping memberi sokongan, kerjasama, penghargaan dan semangat kepada petugas barisan hadapan kita di sektor kesihatanmahupun sektor keselamatan.

"Covid-19 ini juga mengajar kita betapa pentingnya menjaga kebersihan diri kita, rumah kita serta lingkungan persekitaran kita.

"Prosedur operasi standard (SOP) seperti kerap membasuh tangan menjaga kebersihan diri sebenarnya adalah terjemahan daripada ajaran Rasulullah yang perlu kita hayati dan amalkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 12:13 PM