Zaid Salim


Kuala Terengganu: "Saya mengayuh sejauh kira-kira 18 kilometer setiap kali menghantar makanan yang dipesan pelanggan," kata Khairil Hilmi Khalid, 35, dari Taman Aamanda 3, Jalan Pusara, di sini.

Penghantar makanan yang menggunakan basikal untuk menghantar makanan yang dipesan pelanggan berkata, dia tidak berasa malu kerana menggunakan basikal sedangkan penghantar makanan lain menggunakan kenderaan bermotor.

Dia puas apabila makanan yang dipesan pelanggan dapat dihantar dengan selamat walaupun hanya menggunakan basikal.

Bapa kepada lima anak itu menyedari risiko ketika berada di jalan raya, namun dalam menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dia sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan makanan yang dibawa dan keselamatan diri sepanjang perjalanan.

"Syarikat telah menetapkan penghantar makanan yang menggunakan basikal paling jauh sekitar dua kilometer saja dan bekerja mengikut syif iaitu 9 pagi hingga 11 pagi dan 9 malam hingga 11 malam setiap hari," katanya yang bekerja dengan syarikat Food Panda.

Dia antara lima penghantar makanan menggunakan basikal selepas diperkenalkan syarikat berkenaan sejak seminggu lalu.

Khairil Hilmi yang mesra dipanggil Khir ditemui ketika mengambil pesanan pelanggan di sebuah restoran di bandar ini malam tadi.

Ketika ditanya kenapa tidak menggunakan motosikal, dia berkata, selain mencari rezeki secara tidak langsung dengan berbasikal dia dapat melakukan senaman.

KHAIRIL penghantar makanan menggunakan basikal mengambil pesanan pelanggan di sebuah restoran di bandar ini. FOTO Zaid Salim
KHAIRIL penghantar makanan menggunakan basikal mengambil pesanan pelanggan di sebuah restoran di bandar ini. FOTO Zaid Salim

"Untuk mencari rezeki halal, kita tidak seharusnya berasa malu dan terlalu memilih, walau hanya menggunakan berbasikal.

"Ada juga pelanggan yang terkejut melihat saya menggunakan basikal dan mereka kagum selain menasihati supaya sentiasa menjaga keselamatan ketika berada di atas jalan raya," katanya.

Mengakhiri perbualan, Khir menasihatkan golongan remaja supaya mengambil peluang menceburi pekerjaan itu dan buang sifat malu dapat mencari rezeki yang halal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 2:18 PM