Zain Ahmad menunjukkan kasut yang dilarikan pencuri dari rak di premis miliknya di Kampung Bukit Kuching Tengah, Jeram, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Zain Ahmad menunjukkan kasut yang dilarikan pencuri dari rak di premis miliknya di Kampung Bukit Kuching Tengah, Jeram, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: "Tidak sampai 24 jam beroperasi, kedai saya sudah dipecah masuk pencuri. Saya terkilan kasut terpakai seperti 'sneakers' dan 'high cut' pelbagai jenama dilarikan," kata peniaga di Kampung Bukit Kuching Tengah, Jeram, di sini, Mohd Zain Ahmad, 63.

Mangsa berkata, dia mengetahui kejadian itu sebaik tiba di premisnya kira-kira jam 1 petang, Khamis lalu, sebelum kejadian itu tular di media sosial.

"Apabila saya mahu membuka pintu masuk kedai, saya perasan kunci mangga sudah tiada. Curiga dan bimbang, saya masuk ke dalam dan mendapati kira-kira 40 pasang kasut berjenama hilang dari rak.

"Bagaimanapun, tiada kesan umpil pada pintu kedai, hanya kunci mangga sahaja yang hilang," katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, tadi.

Dakwa Mohd Zain, beliau kerugian hampir RM 2,000 termasuk kehilangan alat gerudi yang digunakan di premisnya.

"Sebelum memulakan perniagaan (kasut terpakai), saya berniaga 'car boot' selama empat tahun. Kemudian, Covid-19 melanda negara menyebabkan perniagaan (car boot) terjejas.

"Kebetulan, anak-anak prihatin keadaan saya dan mereka mencari tapak kedai dan membelikan peralatan untuk saya memulakan perniagaan kasut terpakai," kata bapa kepada lapan anak berusia 16 hingga 39 tahun.

Mohd Zain yang menetap di Bandar Puncak Alam berkata, penjenayah terbabit tidak sepatutnya mencuri dalam suasana ekonomi negara tidak stabil.

"Saya reda dengan kejadian yang berlaku dan berharap ia tidak berulang memandangkan perniagaan ini antara impian saya sejak dulu lagi.

"Syukurlah perniagaan ini mendapat sambutan dan tidak sangka pelanggan tidak putus datang untuk membeli kasut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa ketika dihubungi memaklumkan pihaknya masih belum menerima laporan berhubung kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 5:59 PM