MOHD Yusof (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada Mohd Shuhalmi (kiri) mengenai barangan sejuk beku sambil disaksikan Mohd Zaidi (kanan) selepas merasmikan Misa Frozen di Seremban 2. FOTO MOHD AMIN JALIL
MOHD Yusof (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada Mohd Shuhalmi (kiri) mengenai barangan sejuk beku sambil disaksikan Mohd Zaidi (kanan) selepas merasmikan Misa Frozen di Seremban 2. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) sedia membantu usahawan Bumiputera dalam memudahcara atau mendapatkan sijil halal bagi memastikan perniagaan atau produk dipasarkan diyakini pengguna.

Pengarahnya, Mohd Zaidi Ramli berkata, prosedur ditetapkan bagi mendapatkan sijil halal perlu dipatuhi setiap usahawan kerana ia membabitkan kepentingan orang ramai.

"Kami (JHEAINS) sedia membantu usahawan yang berhasrat mendapatkan sijil halal kerana sebenarnya ia mudah jika segala syarat dan keperluan dikehendaki itu dipatuhi.

"Dakwaan sukar mendapatkan sijil halal adalah tidak benar kerana ramai dalam kalangan usahawan berjaya memperolehnya.

"Bagaimanapun, usahawan harus memahami proses mendapatkannya sijil ini membabitkan jabatan lain termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi lain berkaitan," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian premis Misa Frozen di Seremban 2, di sini, hari ini, yang disempurnakan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad.

Hadir sama, Pengerusi Abumie Holdings Sdn Bhd (Abumie) yang juga pemilik Misa Frozen, Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Abumie Holdings, Mohd Shuhalmi Abu.

Sejak awal tahun sehingga pertengahan September lalu, sebanyak 246 premis di seluruh negeri diperiksa oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP dan sebanyak 12 premis dikesan melakukan pelbagai kesalahan membabitkan penggunaan logo halal syarikat pembekal bahan mentah, menggunakan sijil halal tamat tempoh dan mempamerkan tauliah sembelihan JHEAINS di premis makanan.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya bersama KPDNHEP sentiasa memantau penggunaan logo dan sijil halal di setiap premis bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menyalahgunakannya.

"Ia membabitkan kepentingan masyarakat Islam dan kita tidak boleh berkompromi dalam hal isu logo dan sijil halal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 6:22 PM