FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kerajaan Sabah dan Sarawak diseru supaya mengambil tindakan tegas dan muktamad bagi memerangi pasaran rokok seludup bagi melindungi perniagaan dan juga masyarakat.

Presiden Pertubuhan Transformasi Dayak (TRADA), Joseph Anak Janting berkata, rokok seludup sudah meragut 65 peratus pasaran di Malaysia, sebagaimana dianggarkan oleh Euromonitor International.

Katanya, ini meletakkan Malaysia pada senarai teratas di dunia pasaran dikuasai rokok seludup.

"Malangnya, kajian juga mendapati bahawa penguasaan pasaran bagi rokok seludup di Sabah dan Sarawak adalah lebih tinggi berbanding purata kebangsaan, iaitu 84.2 peratus di Sarawak dan 86.1 peratus di Sabah, menurut Kajian Rokok Tidak Sah pada Julai 2020 oleh Nielsen.

"Apakah ini bermakna kedua-dua negeri ini adalah kawasan paling teruk di dunia dari segi pasaran rokok seludup? Sebagai anak Sarawak, saya berasa sedih dan sangat bimbang terhadap isu ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, rokok seludup bukan sahaja memberi impak terhadap kerajaan dan perniagaan dari segi kehilangan hasil, ia juga mengancam masyarakat kerana pasaran rokok seludup membiayai aktiviti jenayah, menggalakkan rasuah dan menjejaskan kesihatan.

"Kita mendedahkan golongan remaja dan anak-anak kepada elemen jenayah dan tabiat buruk dengan membenarkan rokok seludup berkembang di negeri kita.

"Jelas, harga adalah faktor utama di sebalik permasalah serius ini. Bahagian terbesar di dalam masyarakat kita di Sabah dan Sarawak datangnya daripada golongan berpendapatan rendah.

"Pakar bersetuju bahawa kumpulan ini berkemungkinan besar menjadi perokok dan menjadi pengguna produk pasaran gelap.

"Memandangkan harga rokok sah adalah empat hingga lima kali tinggi berbanding rokok seludup, ini tentunya mendorong dagangan pasaran gelap, membolehkan rokok seludup menguasai keseluruhan pasaran," katanya.

Justeru, TRADA menggesa kerajaan Sabah dan Sarawak supaya bekerja rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk menangani isu berkenaan.

Beliau berkata, ini termasuk mengkaji semua duti eksais dan dasar percukaian yang menyebabkan rokok sah menjadi tidak mampu dibeli, memberikan lebih banyak sumber bagi mengukuhkan sempadan negara dan juga menubuhkan dana pendidikan pengguna yang khusus bertujuan mendidik pengguna di Sabah dan Sarawak supaya tidak membeli produk pasaran gelap.

"Bajet 2021 akan datang adalah peluang terbaik untuk mengadakan langkah yang boleh menangani isu endemik ini secara lebih menyeluruh dan tuntas.

"Sabah dan Sarawak mesti memecahkan cengkaman pasaran rokok seludup demi kesejahteraan rakyat dan memelihara pertumbuhan ekonomi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 8:34 PM