AMINAH (tengah) menyiapkan sulamannya sambil diperhatikan Armi Irzan (kiri) dan Wan Nur Hanisah. FOTO BAHAROM BAKAR.
AMINAH (tengah) menyiapkan sulamannya sambil diperhatikan Armi Irzan (kiri) dan Wan Nur Hanisah. FOTO BAHAROM BAKAR.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Seorang ibu tunggal sanggup bersengkang mata menyiapkan tempahan pakaian dan sulaman untuk mencari rezeki membiayai keperluan anaknya yang dikategorikan orang kurang upaya (OKU).

Aminah Besar, 60, dari Kampung Kubang Buyong, Cabang Tiga, di sini, mengakui ada ketikanya terpaksa berjaga sehingga 3 pagi untuk menjahit pakaian dan sulaman tampalan dipesan pelanggannya.

Katanya, dia tidak sanggup meminta-minta, sebaliknya berusaha mencari rezeki menggunakan kudratnya bagi membeli keperluan anaknya, Wan Nur Hanisah Wan Abd Rahman, 30, yang lembam, bisu dan sawan sejak dilahirkan.

"Bukan niat saya untuk meminta-minta bantuan, sebaliknya akan menggunakan sepenuhnya kemahiran menjahit pakaian dan menyiapkan sulaman tampalan ditempah masyarakat termasuk pesan melalui dalam talian.

"Walaupun menerima bantuan pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Adat Melayu (MAIDAM) berjumlah RM550 sebulan, tetapi masih tidak mencukupi untuk menampung kos menyediakan keperluan Nur Hanisah, " katanya.

Aminah ditemui pada program PAKAT bertujuan menceriakan kediamannya anjuran Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, hari ini.

Program itu turut disertai Ketua Bahagian Umno Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Armi Irzan Mohd.

Selain Nur Hanisah, dua lagi anak Aminah ialah Siti Rodhina, 34, dan Wan Hakimi, 27.

Bagaimanapun, hanya Nur Hanisah yang tinggal bersama Aminah, manakala Siti Rodhina yang sudah berumahtangga tinggal di Kuala Lumpur dan Wan Hakimi tinggal bersama keluarganya di lokasi lain.

"Upah diterima termasuk tempahan menjahit pakaian dan sulaman tampalan dianggarkan RM400 sebulan.

"Hasil tempahan menjahit dan membuat sulaman tampalan secara dalam talian itu meningkat antara RM700 dan RM900 pada musim perayaan.

"Saya mempelajari kemahiran menjahit dan membuat sulaman tampalan selepas mengikuti kursus anjuran Jabatan Pembangunan Wanita," katanya.

Menurutnya, perbelanjaan bulanan untuk Nur Hanisah termasuk susu khasnya melebihi RM700 sebulan.

Katanya, selain bantuan JKM dan hasil upah menjahit pakaian serta tempahan sulaman tampalan, Siti Rodhina dan Wan Hakimi turut membantu termasuk perbelanjaan barangan dapur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 10:21 PM