Nurul Hidayah Bahaudin

Serdang: Polis menahan 18 wanita warga Vietnam yang dipercayai pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan Op Noda di tiga pub di Jalan Puteri 4/8, Bandar Puteri Puchong di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pihaknya membuat serbuan di tiga lokasi terbabit pada 10 malam selepas menerima maklumat orang awam.

"Dalam serbuan itu, kami turut menahan tujuh lelaki Myanmar serta seorang lelaki Bangladesh dipercayai pekerja di premis berkenaan selain dua individu tempatan.

"Kesemua individu yang ditahan berusia antara 25 hingga 55 tahun," katanya ketika sidang media selepas membuat tinjauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Jalan Puteri, Puchong di sini.

Razali berkata, pihaknya turut mengeluarkan kompaun kepada 37 pelanggan serta pekerja tempatan di ketiga-tiga premis berkenaan selepas didapati melanggar arahan PKPB.

"Tindakan kompaun itu diambil mengikut Peraturan 3 dan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

Antara GRO yang ditahan ketika pemeriksaan di pusat hiburan yang masih beroperasi di sekitar Puchong semalam. Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Antara GRO yang ditahan ketika pemeriksaan di pusat hiburan yang masih beroperasi di sekitar Puchong semalam. Foto Mohamad Shahril Badri Saali

"Kebanyakan pelanggan itu memaklumkan mereka mengetahui kesalahan berkunjung ke pusat hiburan dan tidak mempertikaikan tindakan pihak polis mengeluarkan kompaun," katanya.

Beliau berkata, tiada rampasan dilakukan pihaknya dalam serbuan di tiga premis berkenaan.

"Pemeriksaan di tiga premis berkenaan mendapati semuanya mempunyai lesen, namun ia menjadi satu kesalahan bagi pusat hiburan beroperasi ketika PKPB," katanya.

Menurutnya, operasi itu bertujuan mendidik masyarakat di daerah ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPB untuk memutuskan rantaian Covid-19 ini.

"Namun jika masih terdapat kesalahan dikesan, kami akan mengeluarkan kompaun kepada individu yang melanggar SOP," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 8:47 AM