GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Semua Sekolah Agama Kerajaan Negeri, maahad serta institusi pendidikan Islam swasta di tiga daerah iaitu Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi diarahkan ditutup sementara berikutan penularan wabak Covid-19.

Ia susulan daerah Johor Bahru yang diisytiharkan sebagai zon merah sejak semalam berikutan peningkatan kes aktif jangkitan Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi, berkata semua Sekolah Agama Kerajaan Negeri dan instusi pendidikan agama di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) diarah ditutup dua minggu bermula 1 November hingga 14 November.

"Sebanyak 217 Sekolah Agama Kerajaan Negeri, Tadika Agama Johor, maahad, institusi pendidikan agama swasta seliaan JAINJ terbabit penutupan sementara ini. Ia membabitkan sebanyak 159 di daerah Johor Bahru, 43 di Kulai dan 15 lagi di Kota Tinggi.

"Sehubungan itu, sekolah dan institusi yang mempunyai asrama juga terbabit dalam arahan penutupan sementara berkenaan.

"Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama berkenaan untuk pulang, bagaimanapun, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa serta murid atau pelajar yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan institusi berkaitan sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Tosrin berkata, keperluan makan dan minum murid serta pelajar sepanjang tempoh berkenaan akan disediakan oleh pihak sekolah dan institusi berkenaan.

"Bagi murid-murid asrama yang pulang ke kawasan yang disahkan Zon Merah tidak dibenarkan pulang ke asrama sehingga tarikh yang dibenarkan.

"Selain itu, bagi mana-mana sekolah yang terbabit berada di sekolah yang disenaraikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia juga dicutikan mengikut tarikh yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh penutupan berkenaan pentadbir sekolah serta semua Institusi Pendidikan Islam diarah untuk memastikan guru, tenaga pengajar serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah termasuk Kelas Darjah Khas yang ditangguhkan pembelajarannya di sekolah yang terbabit bermula hari ini.

Katanya, pegawai Pendidikan Islam Daerah, pentadbir serta guru-guru yang berada di kawasan Zon Merah hendaklah melaksanakan penetapan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh berkenaan dan tidak dibenarkan pulang ke kawasan disahkan Zon Hijau.

Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor akan sentiasa memantau perkembangan berkaitan penularan virus Covid-19 melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementeriam Pendidikan Malaysia (KPM).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 10:26 AM