Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Oleh Amir Mamat


Ayer Keroh: Kerajaan akan membentangkan Pelan Tindakan Kawal Covid-19 untuk tempoh jangka panjang minggu hadapan, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, keutamaan kini diberikan kepada pelan berkenaan memandangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, mahu ia disegerakan sebagai langkah membendung Covid-19 daripada terus menular.

Susulan itu, menurutnya, satu jawatankuasa induk sudah diwujudkan dan dibahagikan kepada sembilan jawatankuasa kecil.

Ia terdiri daripada pelbagai sektor termasuk ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sosial yang akan dipengerusikan oleh menteri berkaitan.

"Semua jawatankuasa kecil ini akan membentangkan cadangan masing-masing minggu depan dan dan disusuli dengan pembentangan kepada jawatankuasa induk sebelum dibawa ke mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri," katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang Dan Pingat Kebesaran Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam ke-71, di Balai Istiadat Seri Negeri di sini, hari ini.

Pada istiadat itu, Ismail Sabri menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Ismail Sabri berkata, pihaknya akan meneliti semua penambahbaikan terbaharu dalam pelan berkenaan sebelum mengubahnya menjadi dasar dan dibentangkan kepada rakyat.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Pengurusan Keselamatan) MKN Datuk Rodzi Md Saad memaklumkan, pelan tindakan secara menyeluruh itu akan dilaksanakan bagi mengawal penularan pandemik Covid-19 untuk jangka panjang.

Beliau dilaporkan berkata, pelan tindakan itu dibuat berdasarkan penilaian fakta dan pengalaman tindakan yang dilakukan kerajaan dalam mengawal wabak itu sejak Januari lalu.

MKN kini masih dalam proses menganalisis semua corak tindakan yang dilakukan dengan meneliti sampel yang mempunyai kesan baik yang mana ia kemudiannya akan digabungkan supaya dapat menjadi satu pelan masa hadapan untuk panduan semua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 5:27 PM