Adin diusung crew penerbangan ihsan dengan dibantu penduduk kampung menaiki helikopter ke HGM.
Adin diusung crew penerbangan ihsan dengan dibantu penduduk kampung menaiki helikopter ke HGM.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyelamatkan wanita Orang Asli hendak bersalin ke Hospital Gua Musang (HGM), hari ini.

Adin Atar, 28, sarat mengandung sembilan bulan tinggal di Kampung Tendrik, Pos Bihai dan sudah tiga hari keluar darah hendak bersalin anak ketiga.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farhan Marzuki berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak pada 1 tengah hari.

Beliau berkata, penerbangan ihsan itu berlepas dari Pangkalan Subang pada 3.35 petang dengan menggunakan Crew Agusta AW 189 (9M-BOE) dan mendarat di Kampung Tendrik pada 4.40 petang.

"Kita mendapati wanita Orang Asli sarat mengandung itu perlu diselamatkan segera tetapi sukar untuk dihantar ke HGK melalui jalan balak yang rosak teruk.

"Penerbangan ihsan itu mendarat di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada 5.05 petang," katanya.

Beliau berkata, wanita terbabit dalam keadaan stabil dan ditemani adiknya, Suder Atar, 14, dihantar ke hospital dengan jentera EMRS JBPM.

Katanya, penerbangan berjalan lancar kerana keadaan cuaca baik tanpa hujan dan ia diketuai Juruterbang Penolong Pesuruhjaya Bomba, Muhammad Saiful Nizam dan dibantu penolong juruterbang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Che Muhamad Azlan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 7:00 PM