Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Sungai Siput: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput (U), hari ini selepas mengaku bersalah menghalang tugas penjawat awam.

Tertuduh, Majid Mat Aisha, 48, didakwa menghalang tugas Mohd Raziff Abdul Hatta iaitu seorang Inspektor polis dengan melarikan diri ketika pemeriksaan dilakukan di hadapan rumah beralamat PT 833 Rancangan Perkampungan Tersusun Salak, Salak Bharu, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari, 27 Oktober lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh enggan keluar dari kereta jenis Proton Wira sewaktu serbuan itu, sebelum bertindak mengundurkan kenderaan dan nyaris merempuh Mohd Raziff.

Kejadian memaksa Mohd Raziff melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta itu.

Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Majid turut dituduh memasukkan dadah jenis morfin ke dalam badannya sewaktu pemeriksaan dilakukan ke atasnya di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput (U) kira-kira 8.33 malam, hari yang sama.

Pertuduhan bagi kesalahan dadah itu pula dibacakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya selain dikenakan Perintah Pengawasan antara dua hingga tiga tahun, iaitu mengikut Seksyen 38B ADB.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Chung Hwei di hadapan Majistret Norhabsarina Ayobdengan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Hennie Soraya Hanafi.

Norhabsarina menetapkan hukuman penjara bermula 27 Oktober lalu iaitu hari tertuduh ditangkap selain menetapkan tambahan hukuman penjara enam bulan jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun bagi kesalahan dadah, Majistret menetapkan 8 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Dalam perkembangan berkaitan, dua lelaki turut mengaku bersalah di mahkamah sama, hari ini bagi kesalahan mengedar dadah jenis heroin secara bersama.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Fadzli Ahmad, 43, dan Mohd Azudin Ab Ghani, 41, didakwa secara bersama mengedar 28.19 gram heroin kira-kira jam 12.20 tengah hari pada 27 Oktober lalu di rumah beralamat yang sama ketika pertuduhan dibacakan ke atas Majid.

Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 39B ADB yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati.

Selain pertuduhan mengedar, Mohammad Fadzli dan Mohd Azudin turut didakwa memiliki dadah jenis heroin masing-masing seberat 0.38 gram dan 0.62 gram yang menyebabkan mereka turut dituduh mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta yang sama, serta dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, seorang lagi tertuduh yang ditahan bersama Mohammad Fadzli dan Mohd Azudin, Ahmad Kamil Ismail, 47, didakwa memasukkan dadah jenis morfin ke dalam badan.

Mengikut pertuduhan, kesalahan itu dilakukan sewaktu pemeriksaan di Pejabat Narkotik IPD Sungai Siput (U) kira-kira 8.33 malam, pada hari dan waktu yang sama pemeriksaan dijalankan ke atas Majid.

Majid Mat Aisha, 48, dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Siput (U). FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Majid Mat Aisha, 48, dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Siput (U). FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Terdahulu, media melaporkan empat lelaki berusia dalam lingkungan 40 tahun yang dipercayai terbabit dengan aktiviti mengedar dadah ditahan dalam serbuan di sebuah banglo, di sini dengan seorang dari suspek cuba merempuh polis ketika meloloskan diri.

Majistret turut memerintahkan 8 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes bagi keempat-empat tertuduh, dengan hanya Ahmad Kamil sahaja dibenarkan untuk diikat jamin iaitu sebanyak RM2,000.

Berita berkaitan

Polis tembak tayar dua das, pengedar dadah ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 1:44 PM