Aminuddin (tengah) menunjukkan kawasan Seremban yang terbabit dengan PKPB bermula 5 November ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
Aminuddin (tengah) menunjukkan kawasan Seremban yang terbabit dengan PKPB bermula 5 November ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil

Seremban: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama 14 hari bermula 5 November di daerah ini akan membabitkan 625,200 penduduk.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perintah itu perlu dilaksana sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

"Pola peningkatan kes Covid-19, khususnya di Seremban menjadi justifikasi utama kerajaan negeri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri akur pelaksanaan PKPB di sini.

"Dengan penguatkuasaan ini juga, dengan sendirinya PKPB di Nilai yang dikuatkuasakan sebelum ini terbatal dan mengikut pelaksanaan terkini bagi seluruh Seremban kerana Nilai sebahagian daripadanya," katanya pada sidang media khas di Bilik Gerakan Wisma Negeri di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malek dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan.

Terdahulu, dalam sidang media harian, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Seremban dikenakan PKPB sehingga 18 November ini.

Menurutnya, pelaksanaan PKPB itu akan meliputi sembilan mukim iaitu Ampangan, Seremban, Bandar Seremban, Labu, Rantau, Rasah, Setul, Pantai dan Lenggeng.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 8:25 PM