FARAH Nasuha (kanan) sedang betulkan kaki palsu bapanya, Ramli Omar (kiri) di gerai burgernya di hadapan Dewan Sivik Pasir Panjang, petang ini. FOTO BAHAROM BAKAR.
FARAH Nasuha (kanan) sedang betulkan kaki palsu bapanya, Ramli Omar (kiri) di gerai burgernya di hadapan Dewan Sivik Pasir Panjang, petang ini. FOTO BAHAROM BAKAR.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kenaikan kadar bantuan daripada RM250 kepada RM350 sebulan kepada golongan orang upaya (OKU) mampu meringankan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Ramli Omar, 58, dari Bukit Besar, di sini, berkata, dia bersyukur atas keprihatinan kerajaan kerana menaikkan kadar bantuan untuk golongan OKU sepertinya.

Dia yang kudung kaki kiri dan terpaksa memakai kaki palsu sejak tahun 1998 hanya menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

Katanya, sebahagian bantuan itu digunakan sebagai modal menjual burger bersama anaknya, Farah Nasuha dibahu jalan di hadapan Dewan Sivik Pasir Panjang.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana bersimpati serta menghargai golongan OKU apabila menaikkan kadar bantuan itu, " katanya ketika ditemui ketika membantu anaknya menjual burger, di sini, hari ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini berkata, kadar bantuan OKU tidak berupaya bekerja akan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Turut dinaikkan adalah kadar bantuan warga emas dan bantuan penjagaan OKU serta pesakit kronik terlantar daripada RM350 kepada RM500.

Ramli berkata, bantuan itu akan digunakan sebagai tambahan modal, termasuk membeli perkakas dan bahan mentah untuk membantu anaknya menjual burger.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2020 @ 9:20 PM