Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Yahyawiah, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa esok hingga 21 November 2020.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), hari ini.

"Dalam mesyuarat khas itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut membentangkan situasi semasa kes Covid-19 di SABK Maahad Al-Yahyawiah, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak.

"Sehingga 5 November lalu, saringan KKM merekodkan sebanyak 27 kes positif Covid-19 di kawasan itu.

"Atas nasihat dan penilaian risiko yang dilaksanakan oleh KKM, sidang khas MKN hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD di SABK Maahad Al-Yahyawiah itu," katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD itu bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan bersasar membabitkan seramai 123 pelajar dan 11 staf bagi menyekat penularan Covid-19 kepada komuniti setempat.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan penamatan PKPD di Taman Semarak dan PPR Sri Balung, Tawau, Sabah.

"Sebelum ini, kerajaan sudah mengumumkan pelaksanaan PKPD di Taman Semarak dan PPR Sri Balung, Tawau bermula 26 Oktober sehingga esok, 8 November 2020.

"Sehingga 5 November 2020, KKM melakukan sebanyak 2,051 saringan di Taman Semarak dan hanya 13 kes didapati masih aktif.

"Bagi PPR Sri Balung, sehingga 31 Oktober 2020, KKM melaksanakan sebanyak 1,149 saringan dan juga mendapati hanya 13 kes masih aktif," katanya.

Justeru, katanya, penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM mendapati situasi kes Covid-19 di kedua-dua lokaliti di Tawau itu mencatatkan trend penurunan dan terkawal.

Menurutnya, atas nasihat KKM, sidang Khas hari ini bersetuju supaya pelaksanaan PKPD di kedua-dua lokaliti itu ditamatkan esok 8 November seperti yang dijadualkan.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 5:28 PM