REMAJA berusia 18 tahun yang dicekup berkhalwat oleh penguat kuasa JAIK bersama pasangannya dalam sebuah bilik sewa di Jalan Langgar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
REMAJA berusia 18 tahun yang dicekup berkhalwat oleh penguat kuasa JAIK bersama pasangannya dalam sebuah bilik sewa di Jalan Langgar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Dua pasangan dicekup berkhalwat di bilik berasingan di sebuah bangunan yang dijadikan bilik sewa di Jalan Langgar, di sini, semalam.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) serentak dalam operasi jam 12.34 tengah malam berdasarkan maklumat dan risikan.

Dalam serbuan itu, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang menetap di sekitar bandar raya ini memberi alasan tidak sempat pulang ke rumah kerana lewat malam dan menumpang di sebuah bilik disewa bersama rakan lelakinya.

Malah, remaja perempuan yang sudah tidak bersekolah itu mengakui baru mengenali lelakinya yang berusia 21 tahun itu.

Sementara itu, serbuan di bilik bersebelahan pula menemui pasangan berusia 18 dan 19 tahun yang gagal menunjukkan sebarang bukti hubungan mahram atau suami isteri.

Remaja perempuan itu mendakwa dia baru pulang bekerja dan tidak mempunyai surat kebenaran pulang ke rumah di Jitra disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyebabkan dia menyewa di situ bersama pasangannya.

Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

"Pasangan itu dibawa ke Balai Polis Alor Setar untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibebaskan selepas keterangan diambil," katanya.

"Mereka kemudian diberi tarikh untuk hadir ke pejabat agama sebelum perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah berdasarkan kesalahan yang dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 10:49 AM