GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Melvin Joni


Kuching: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak akan jalankan siasatan bagi memastikan tiada pegawainya terbabit dengan pemalsuan cop sempadan di pintu masuk negeri ini.

Pengarah Imigresen Sarawak, Datuk Ken Leben berkata setakat ini tiada pegawai di setiap pintu masuk di Lubok Antu, Tebedu, Biawak termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) yang ditahan berhubung perkara itu.

"Namun kita akan siasat untuk memastikan tiada pegawai JIM sarawak terbabit dalam kegiatan itu," katanya yang dihubungi, hari ini.

Sementara, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak, Mohd Zaki Hassan mengesahkan seorang awam ditahan di Sarawak kerana disyaki terbabit dalam kes berkenaan semalam.

Namun demikian, Mohd Zaki berkata tidak dapat mendedahkan secara terperinci kerana kes dikendalikan oleh Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

"SPRM Sarawak hanya membantu, saya tidak boleh komen apa-apa," katanya.

SPRM berjaya melumpuhkan aktiviti rasuah membabitkan sindiket yang menyalahgunakan pengesahan cop keluar dan masuk sempadan utama negara dalam operasi besar-besaran bermula lewat petang semalam.

Dalam operasi yang dilancarkan semalam seramai 46 orang ditangkap di sekitar Putrajaya, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.

Ahli-ahli sindiket yang ditahan termasuk 27 pegawai imigresen, 14 ejen pekerja asing dan lima orang awam yang bertindak sebagai orang tengah, yang diberkas berusia antara 21 hingga 46 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2020 @ 4:34 PM