Kuala Lumpur: Penahanan 27 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terbabit dalam aktiviti pemalsuan cop keselamatan imigresen adalah hasil kerjasama jabatan itu dan SPRM.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, penahanan mereka adalah hasil perkongsian maklumat yang diperolehi daripada aduan orang ramai.
Menurutnya, JIM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan yang akan dilaksanakan secara penuh profesional.
"JIM tidak akan berkompromi dengan pegawai dan kakitangan yang menyalah gunakan kuasa yang diperuntukkan mengikut Akta dan Peraturan Imigresen bagi tujuan kepentingan peribadi.
"Mereka yang terbabit perlu bersedia menghadapi tindakan undang-undang yang akhirnya akan dipenjara dan ditamatkan perkhidmatan jika didapati bersalah," katanya tadi.
Beliau berkata, penahanan pegawai ini bagaimanapun tidak akan menjejaskan operasi Imigresen dalam melaksanakan tugas harian dan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Harian Metro hari ini melaporkan SPRM berjaya melumpuhkan aktiviti rasuah membabitkan sindiket yang menyalahgunakan pengesahan cop keluar dan masuk sempadan utama negara dalam operasi besar-besaran bermula lewat petang semalam.
Operasi khas yang dinamakan OPS SELAT ini adalah 'sting operation' yang dijalankan dengan kerjasama JIM.
Dalam operasi yang dilancarkan itu, seramai 46 orang ditangkap di sekitar Putrajaya, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.
Ahli sindiket yang ditahan termasuk 27 pegawai JIM, 14 ejen pekerja asing dan lima orang awam yang bertindak sebagai orang tengah berusia antara 21 hingga 46 tahun.
Berita berkaitan
• Palsu cap sempadan: 23 termasuk 9 orang awam direman
• Ejen cop sempadan direman">Tiada pegawai JIM Sarawak terbabit