KEADAAN di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). FOTO MOHD FADLI HAMZAH
KEADAAN di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Samadi Ahmad

Sepang: Seramai lapan lagi penduduk di Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi yang menghilangkan diri dari kawasan itu sejak sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan, sudah pulang menyerah diri semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata setakat ini, seramai 42 penduduk sudah pulang selepas premis berkenaan dikenakan pelaksanaan PKPD bermula 12 sehingga 25 November.

"Setakat ini jumlah penduduk yang direkodkan adalah seramai 383 individu termasuk dua warga tempatan yang pulang selepas selesai menjalani rawatan Covid-19 di Hospital Sungai Buloh (HSB)," katanya kepada pemberita.

Dianggarkan antara 700 ke 800 penduduk membabitkan penduduk tempatan dan warga asing tinggal di Medan 88 di kawasan yang kini berada bawah PKPD bermula 12 sehingga 25 November.

Sebelum ini dilaporkan seramai 400 penduduk di premis berkenaan menghilangkan diri dan gagal menjalani ujian saringan selepas kawasan itu dikenakan PKPD.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sudah mengadakan tiga seisi ujian saringan terhadap seramai 286 penduduk di sesi pertama pada 11 November, 38 individu pada 13 November dan 21 lagi kelmarin.

Bermula jam 8 pagi ini dan esok seramai 126 pekerja premis perniagaan dan pejabat yang tinggal di luar Medan 88 akan menjalani ujian saringan Covid-19 di kawasan berkenaan.

Sehingga kini, seramai 50 pekerja sudah menjalani ujian saringan dan menjalani kuarantin di luar.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 12:38 PM