PEKERJA Syarikat Top Glove, di Taman Dayang Maju, Meru menunggu giliran untuk pemeriksaan ujian saringan setelah kawasan mereka dikenakan PKPD. FOTO Fathil Asri
PEKERJA Syarikat Top Glove, di Taman Dayang Maju, Meru menunggu giliran untuk pemeriksaan ujian saringan setelah kawasan mereka dikenakan PKPD. FOTO Fathil Asri
Norzamira Che Noh


Klang: Seramai 2,990 individu yang terbabit dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Asrama Top Glove dekat sini, sudah disaring oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang, sehingga hari ini.

Komandan Operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, anggaran sebenar jumlah individu yang akan disaring berdasarkan bancian adalah 5,916 orang.

"Jumlah sebenar individu yang perlu disaring meningkat daripada jangkaan awal iaitu 3,550 orang.

"Daripada jumlah keseluruhan itu, 2,990 individu sudah disaring sehingga jam 3 petang tadi.

"Untuk makluman, warga tempatan yang terbabit adalah 215 orang bersamaan 57 buah rumah manakala pekerja yang tinggal di asrama adalah 5,701 orang," katanya pada kenyataan.

Beliau berkata, bagi menguatkuasakan perintah PKPD itu, 200 petugas membabitkan pelbagai jabatan serta agensi kerajaan dikerah setiap hari bagi membuat kawalan dan saringan Covid-19.

"Orang ramai serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berminat untuk menyumbang sumbangan berbentuk makanan asas seperti beras, ayam, sayur, dan ikan selain makanan ringan berzat seperti gula, pek minuman segera dan lain-lain kepada warga tempatan amatlah dialu-alukan.

"Sebarang bantuan perlu disalurkan melalui Bilik Gerakan PKPD Asrama Pekerja Top Glove di talian hotline 013-6319326," katanya.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di asrama pekerja berkenaan bermula 17 November hingga 30 November ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 7:56 PM