Muhamad Adieadha dan Nor Edayu selepas selamat dinikahkan di Pejabat Agama Islam Bagan Serai hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Muhamad Adieadha dan Nor Edayu selepas selamat dinikahkan di Pejabat Agama Islam Bagan Serai hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Tarikh 20 November menjadi hari bersejarah buat dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian apabila melangsungkan pernikahan dengan memakai baju seragam rasmi kerana masing-masing terpaksa bertugas.

Majlis pernikahan Konstabel Muhamad Adieadha Hamzah, 27, dan Konstabel Nor Edayu Mohamad Lakhin, 29, berlangsung pada 3.50 petang hari ini di Pejabat Agama Islam Bagan Serai.

Nor Edayu ketika dihubungi berkata, walaupun majlis dilangsungkan dalam keadaan kedua-duanya masih bertugas dan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), namun dia dan suami tetap teruja serta bangga apabila dapat melangsungkan hari bahagia mereka dengan hanya berpakaian seragam polis yang menjadi kebanggaan selama ini.

"Sebenarnya tarikh ini dipilih dan ditetapkan oleh kedua-dua pihak, malah tempahan seperti pakaian, pelamin dan sebagainya sudah dibuat.

"Disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda negara, semua tempahan terpaksa dibatalkan tetapi majlis pernikahan kami dijalankan mengikut perancangan awal.

"Walaupun majlis berlangsung ringkas dan masing-masing dalam tugasan, namun kami tetap gembira dan teruja," katanya.

Nur Edayu yang bertugas di Bahagian Pengurusan Cawangan Hal Ehwal Awam dan suaminya yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah dijangka akan melangsungkan majlis persandingan mereka pada Februari tahun hadapan sekiranya keadaan semasa (Covid-19) pulih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 10:46 PM