ANGGOTA bomba mengusung keluar lelaki OKU yang terperangkap di rumahnya. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba mengusung keluar lelaki OKU yang terperangkap di rumahnya. FOTO ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Anggota bomba menyelamatkan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) terperangkap di rumahnya yang dinaiki air di Kampung Batu 7, Ijok, di sini, semalam.

Mangsa dikenali sebagai Khairul Izam, 40, cacat di bahagian kaki.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.40 malam.

Beliau berkata, sepasukan enam anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Kamarul Anuar Isnawan bersama jentera tiba di lokasi pada 7.55 malam.

"Anggota mendapati mangsa terperangkap di rumahnya yang dinaiki air.

"Anggota kemudian mengeluarkan mangsa dengan menggunakan usungan ke tempat selamat dan seterusnya diserahkan kepada pihak keluarga untuk dibawa ke rumah adiknya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menyelamatkan mangsa sebelum operasi tamat pada 8.19 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 11:30 AM