FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Kenaikan harga bawang India dalam pasaran tempatan berpunca kekurangan bekalan akibat negara pembekal dilanda banjir.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, ia susulan kebanyakan kawasan di India kini dilanda banjir menyebabkan bekalan bawang terjejas.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mencari dan mendapatkan sumber bekalan bawang dari negara pengimport lain bagi memenuhi permintaan pengguna negara ini.

"Pengguna mempunyai pilihan menggunakan bawang yang diimport dari beberapa negara seperti Thailand, Pakistan, China, Holand, Myanmar dan Indonesia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke kilang pengeluar telur ayam Teo Seng Capital Berhad Yong Peng di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Pendayaupayaan Pengguna KPDNHEP, Mohamed Zahari Razali; Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Azman Adam dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Leong Hup International Berhad, Tan Sri Lau Tuang Nguang

Sementara itu, Rasol berkata kementeriannya memberi jaminan bekalan bahan makanan mencukupi dan membenarkan pihak pemborong untuk menyimpan lebih bekalan sebanyak 30 peratus daripada kuota biasa yang ditetapkan bagi musim tengkujuh yang baru bermula di negara ini.

"Kebenaran berkenaan adalah bagi memastikan rakyat tidak terputus bekalan bahan makanan dalam tempoh musim tengkujuh disamping negara masih menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri bagi menghadapi penularan Covid-19 ketika ini, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 3:35 PM