ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan tangan tangan kanak-kanak perempuan yang tersepit dalam mesin treadmill di rumahnya di Sitiawan. FOTO IHSAN BOMBA.
ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan tangan tangan kanak-kanak perempuan yang tersepit dalam mesin treadmill di rumahnya di Sitiawan. FOTO IHSAN BOMBA.
Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan: Kanak-kanak perempuan menahan kesakitan selepas tangan kanannya tersepit dalam mesin pengisar injakan (treadmill) di rumahnya di Batu 14 Lekir, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 12.50 tengah hari itu, mangsa berusia sembilan tahun mengalami luka kecil dan melecet di tangan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Khairul Azizi Kamarudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 12.54 tengah hari.

Menurutnya, seramai enam anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

"Ketika kejadian mangsa dikatakan bermain bersama adik-beradiknya sebelum sebuah bola termasuk di bawah mesin treadmill dan kanak-kanak perempuan itu cuba mengambilnya.

"Bagaimanapun, dipercayai seorang daripada mereka secara tidak sengaja tertekan suis yang menyebabkan mesin itu bergerak lalu tangan mangsa tersepit," katanya ketika dihubungi.

Khairul Azizi berkata, anggota bomba mengambil masa 10 minit menggunakan peralatan khas untuk merengangkan putaran mesin bagi mengeluarkan tangan kanak-kanak itu.

"Ketika operasi menyelamat dilakukan, kanak-kanak itu menangis dan anggota bomba menenangkannya sebelum tangannya berjaya dikeluarkan.

"Tangan kanak-kanak itu hanya mengalami luka kecil dan melecet, tetapi menasihatkan keluarganya supaya membawa mangsa ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 3:53 PM