MAZRIL (kiri) dan Razilfizi yang cedera di kaki selepas ditimpa dinding bilik air. FOTO Mohd Khidiri Zakaria.
MAZRIL (kiri) dan Razilfizi yang cedera di kaki selepas ditimpa dinding bilik air. FOTO Mohd Khidiri Zakaria.
Mohd Khidir Zakaria


Kuala Pilah: Dua anak Orang Asli patah kaki selepas dinding bilik air runtuh dan menghempap mereka ketika sedang mandi di Kampung Orang Asli Kelapi Inas, Johol, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pada 4.30 petang itu, Mazril Mazuwan, 10, sedang mandi bersama dua sepupunya, Razilfizi Iszeri, dan seorang lagi yang berusia empat tahun.

Ibu mangsa, Yanti Kelpi, 34 berkata, dia menyedari kejadian selepas mendengar suara jeritan dan tangisan dari bilik air yang terletak di luar rumah mereka.

"Saya bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku sebelum mendapati dinding bilik air yang diperbuat dari batu bata tumbang dan menghempap anak saya dan sepupunya.

"Anak saya retak tulang kaki kanan manakala Razilfizi patah kedua-dua kakinya, manakala seorang lagi anak saudara cedera di kepala kerana terkena serpihan batu bata itu," katanya ketika ditemui di Hospital Tunku Ampuan Najihah (HTAN) di sini, hari ini.

Yanti berkata, dia tidak pasti bagaimana dinding bilik air itu boleh runtuh kerana cuaca ketika kejadian baik, malah tiada kesan retak dan kelihatan kukuh.

"Mungkin sebab selalu hujan dinding itu jadi tak kukuh dan kejadian banjir baru-baru ini menjadikan struktur dinding lemah menyebabkan ia tumbang," katanya.

Dalam pada itu, dia berharap ada pihak yang boleh membantu membaiki dinding bilik air itu bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 5:41 PM