NUR AIN bersama Nur Syazana kecewa dengan rangkaian internet di PPS SK Parit Haji Aman yang lemah dan menyukarkan mereka membuat kerja sekolah dan mengikuti kelas secara dalam talian. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
NUR AIN bersama Nur Syazana kecewa dengan rangkaian internet di PPS SK Parit Haji Aman yang lemah dan menyukarkan mereka membuat kerja sekolah dan mengikuti kelas secara dalam talian. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Ketiadaan kemudahan dan capaian Internet yang lemah memberi masalah kepada mangsa banjir terutama pelajar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Haji Aman, di sini.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar Al-Bakhir, Nor Ain Liyana [email protected], 17, berkata dia sukar mengikuti pembelajaran dalam talian sepanjang dua hari berada di PPS itu berikutan capaian Internet terlalu lemah.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa mencari Internet di persekitaran sekolah bagi mengikuti pembelajaran dalam talian, namun hampa.

"Pagi tadi kami ada kelas online subjek sejarah, namun capaian Internet di sini (PPS) lemah dan pembelajaran itu terputus. Beberapa kali saya cuba untuk masuk semula kelas itu, namun gagal.

"Diharapkan pihak kerajaan dapat menaik taraf rangkaian Internet di sini atau sekurang-kurangnya menyediakan kemudahan 'wifi' untuk memudahkan kami belajar di samping dapat digunakan penghuni dan petugas-petugas di PPS ini," katanya ditemui media, hari ini.

Nur Ain Liyana dari Parit Air Itam 3, di sini, akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berasa sedikit terkesan dengan kejadian banjir berikutan pertama kali dipindahkan ke PPS.

"Nak buat macam mana, nak tak nak terpaksa juga tingggal di sini. Kemudahan yang disediakan memang mencukupi dan selesa, namun ruangan untuk kami belajar agak terhad selain capaian Internet lemah," katanya.

Pelajar lain Nur Syazana Mohd Zaizulham, 15, berkata ketiadaan gajet dan terpaksa meminjam telefon pintar milik ibunya juga menyukarkannya untuk belajar.

Dia yang tinggal di Parit Ali Kalang, di sini, turut terkesan dengan masalah sama hingga terpaksa keluar dari bilik tidur di PPS itu untuk mencari capaian Internet bagi membuat kerja-kerja sekolah yang diberikan guru.

"Kadangkala sampai terpaksa pergi ke kantin sekolah untuk buat kerja disebabkan hanya kawasan tertentu sahaja yang ada Internet.

"Seandainya ada pihak yang mampu menyediakan kemudahan wifi, gajet atau komputer riba untuk digunakan sementara, saya amat alu-alukan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Razman Zakaria berkata, pihaknya melalui Pusat Khidmat DUN Gunung Semanggol bercadang menyediakan kemudahan Internet di PPS itu bagi memastikan pelajar yang menjadi mangsa banjir dapat belajar secara dalam talian.

Menurutnya, langkah itu perlu supaya pembelajaran pelajar tidak terganggu dengan kemudahan Internet.

"Kita tidak mahu pelajar yang dipindahkan ke PPS akibat banjir ketinggalan berbanding dengan mereka yang mempunyai kemudahan peralatan telekomunikasi seperti telefon pintar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 6:09 PM