FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Yusmizal DolahAling


Kuala Lumpur: Peruntukan RM2 bilion yang diberikan kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan digunakan sebaik mungkin bagi memastikan agenda memperkasa Bumiputera tercapai.

Pengerusi Mara Datuk Azizah Mohd Dun berkata, ia adalah satu jumlah yang signifikan untuk berfungsi secara menyeluruh demi manfaat rakyat.

Katanya, ia termasuk membiayai pendidikan 50,000 pelajar termasuk 21,000 pelajar baharu.

"Peruntukan itu sangat bermakna bukan saja untuk menaja pengajian, tetapi juga perkara lain di bawah Mara.

"Dengan adanya tajaan pengajian, anak bangsa kita boleh menimba ilmu dan menyumbang kepada negara dengan pengetahuan mereka," katanya.

Azizah berkata, selain itu, peruntukan berkenaan juga akan digunakan untuk meningkatkan ekonomi menerusi bantuan yang disalurkan.

Katanya, menjadi tanggungjawab pihaknya untuk memastikan agenda pemerkasaan itu dilaksanakan sebaik mungkin.

"Bagi maksud ekonomi dan keusahawanan, banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kita terjejas begitu teruk akibat pandemik Covid-19 ini.

"Jadi dengan pertambahan peruntukan, Mara perlu bergerak di luar kotak untuk membantu mereka yang terkesan mengikut norma baharu.

"Kami akan lihat bagaimana kami boleh bantu mereka supaya lebih maju, berjaya dan yang pentingnya bangkit daripada keadaan yang mereka hadapi sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 8:01 AM